Anugerah Plus

PruBSN perkenal produk takaful digital

PETALING JAYA: Prudential BSN Takaful (PruBSN) akan memperkenalkan beberapa produk takaful berasaskan digital sebagai usaha untuk menarik lebih banyak golongan muda untuk memiliki pelan takaful.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, inisiatif itu jug adalah sejajar dengan garis panduan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pengendali takaful dan insurans tempatan bagi menggalakkan kadar penembusan terhadap perlindungan takaful.

 

Beliau berkata, syarikat berkenaan mempunyai dua pendekatan bagi produk berasaskan digital iaitu sebagai pemudah cara kepada proses permohonan bagi perlindungan dan juga pilihan produk yang lebih mesra pelanggan serta mampu milik.

“Potensi bagi sektor takaful di Malaysia adalah luas dan ia mempunyai prospek pertumbuhan yang tinggi.

“Bagi kami, ia adalah langkah tepat untuk melaksanakan pelbagai usaha namun, ia adalah proses berterusan yang perlu dilakukan dalam tempoh panjang.

“Tumpuan kepada segmen digital juga adalah tepat yang akan disokong dengan beberapa produk takaful berasaskan digital pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran PruBSN AnugerahPlus di sini.

Hadir sama, Ketua Pengagihan Agensi PruBSN, Mohd Hakem Nordin.

PruBSN Anugerah Plus adalah pelan takaful mampu milik berpandukan shariah yang boleh diubahsuai mengikut kemampuan pada harga serendah RM50 setiap bulan.

Wan Saifulrizal berkata, pada harga berkenaan, pelanggan dapat memaksimumkan manfaat perlindungan mereka dengan mengambil mana-mana 15 pelan tambahan yang ditawarkan.

“Antara ciri produk baru ini adalah ia menawarkan perlindungan lengkap seperti Medic Protector iaitu pelan perubatan tanpa had seumur hidup meliputi kos hospital, pembedahan atau rawatan pesakit luar terpilih.

“Lebih menarik lagi, ia mempunyai ciri Medic Booster yang membolehkan had tahunan ditingkatkan sebanyak RM1 juta,” katanya.

Beliau menjelaskan, produk itu juga dapat membantu merapatkan jurang kewangan dengan Cancer Protection yang menyediakan bayaran sekali gus sebanyak lima peratus daripada jumlah perlindungan pada tahun pertama penyakit dikesan dan 10 peratus pada tahun kedua.

Sehingga kini, pengendali takaful nombor satu di Malaysia itu mempunyai lebih 16,000 perunding takaful yang berkhidmat untuk lebih 850,000 pelanggannya di seluruh negara.

Tekan Butang Whatsapp Untuk Bantuan Segera