7 Sebab Utama Harta Pusaka Umat Islam Beku
1. Waris tidak tahu proses tuntutan
Waris tidak tahu ke mana mereka perlu pergi untuk menuntut harta pusaka tersebut. Kita hanya akan mula mencari maklumat apabila kes kematian sudah berlaku.
2. Pengurusan harta pusaka melibatkan kos yang tinggi
Mengikut Akta Probate & Pentadibiran 1959, pihak yang mengurus dan mentadbir harta pusaka boleh mengenakan caj maksima sebanyak 5% dari nilai semasa harta tersebut. Kalau harta RM1 juta, maka kos pengurusan yang boleh dikenakan adalah RM50,000. Kos yang tinggi ini menyebabkan ramai waris berputus asa untuk meneruskan proses tuntutan harta pusaka ini. Caj ini biasanya dikenakan oleh pihak yang menguruskan proses tuntutan harta pusaka tersebut seperti peguam dan syarikat trustee.
3. Tidak ada kesepakatan antara waris
Sekiranya waris bersetuju tentang pembahagian harta pusaka ini, maka proses tuntutan akan menjadi lebih mudah dan cepat. Lebih parah sekiranya waris bergaduh sesama sendiri berebut harta yang ditinggalkan.
4. Waris tiada masa urus pusaka
Urusan tuntutan harta pusaka ini perlu dilakukan di Pejabat Pusaka Kecil, Amanah Raya Berhad atau di Mahkamah Tinggi. Mereka yang bekerja di bahagian ini juga mempunyai waktu pejabat seperti orang lain. Maka, waris perlu uruskan semuanya ketika office hour. Agak susah sekiranya semua waris bekerja secara sepenuh masa dan susah untuk mendapat pelepasan atau cuti bagi menguruskan hal tersebut.
5. Waris tidak tahu hukum faraid
Ilmu faraid ini jarang disentuh dan dikupas secara mendalam samada di sekolah, universiti mahupun di pengajian di masjid-masjid. Ramai yang menganggap ilmu ini tidak penting. Apa yang ditakuti adalah apabila kita termakan hak orang lain secara batil. Haram dan berdosa.
6. Harta yang ditinggalkan kecil
Mungkin anak-anak si mati sudah mempunyai kerjaya sendiri dan berpangkat besar. Apalah yang nak disibukkan dengan sebidang tanah di kampung. Mungkin itu cetusan hati mereka menyebabkan waris membiarkan sahaja harta tersebut tidak dituntut. Walhal mereka perlu ingat, tanah sekangkang kera itulah yang membesarkan mereka adik beradik sehingga berjaya. Daripada terbiar begitu sahaja, baik tuntut terlebih dahulu. Jika tak mahu, jual sahaja dan hasil jualan tersebut wakafkan untuk membuat masjid dan sebagainya. Pahala wakaf tersebut akan terus mengalir kepada si mati sampai bila-bila.
7. Proses tuntuan harta pusaka memakan masa yang lama
Sebab utamanya adalah tidak ada kesepakatan antara waris atau waris yang berhak menerima sudah meninggal dunia terlebih dahulu. Maka, waris seterusnya adalah anak kepada penerima tersebut yang mungkin sudah ada kehidupan masing-masing di tempat lain. Hendak cari mereka semula itu yang susah dan memakan masa. Tidak ada kesepakatan juga menjadi isu utama. Bergaduh di mahkamah bertahun-bertahun berebutkan harta si mati.Kesimpulannya, buat persiapan dari sekarang ketika masih hidup. Di dalam bidang pengurusan kewangan, bahagian ini dinamakan estate planning atau wealth distribution. Anda boleh gunakan hibah,wasiat atau faraid untuk uruskan harta anda apabila anda sudah tidak ada nanti.
Credit to Aziz Riadi