Pengembara perlu memiliki perlindungan insurans Covid-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pengembara yang ingin memasuki Malaysia pada 1 April ini perlu memiliki polisi perlindungan insurans (Covid-19 dan pengembaraan).

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perlindungan insurans yang ditetapkan Kerajaan Malaysia bagi tujuan ini adalah pada kadar minimum USD20,000.

Beliau berkata, protokol am itu perlu dipatuhi pengembara yang ingin memasuki Malaysia, selaras dengan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini.

“Keperluan ini terpakai ke atas pengembara warganegara asing yang memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek, tanpa mengira status vaksinasi Covid-19 mereka.

“Perlindungan insurans tersebut antara lain adalah bagi menanggung kos kuarantin, rawatan dan kemasukan ke hospital, sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 semasa berada di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata, ketetapan itu tidak terpakai bagi pengembara dari Singapura iaitu membabitkan warganegara Singapura atau Malaysia, penduduk tetap Singapura atau Malaysia dan pemegang pas jangka panjang di Singapura atau Malaysia.

 

“Pengecualian ini adalah terpakai bagi pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dengan menggunakan laluan udara, darat dan laut,” katanya.

Katanya, protokol am lain ditetapkan kerajaan bagi pengembara termasuk mengisytiharkan melalui aplikasi MySejahtera bahawa mereka memiliki polisi perlindungan insurans (Covid-19 dan pengembaraan)

 

sumber dari : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/pengembara-perlu-memiliki-perlindungan-insurans-covid-19/