fbpx

Asalkan mereka tak dakwa saya sebagai duta insurans – Fasha Sandha

KUALA LUMPUR – Aktres popular Fasha Sandha tidak kisah sekiranya perkongsiannya mengenai kepentingan melanggan kad perubatan digunakan oleh ejen-ejen insurans untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat.

Menyedari mengenai hal tersebut, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan, 38, itu berlapang dada sekiranya perkongsiannya membuka mata masyarakat mengenai kepentingan langganan kad perubatan dan insurans.

“Apabila menjelaskan mengenai kad perubatan itu dalam Instagram, ramai ejen insurans menggunakan gambar saya sebagai tujuan promosi produk mereka.

“Mereka hanya guna kata-kata saya dan tak kisah sekiranya perkongsian tersebut dapat memberi kesedaran yang baik mengenai kepentingan kad perubatan dan caruman insurans kepada masyarakat,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pengumumannya sebagai duta jenama fesyen Alfaro, di sini baru-baru ini.

Meskipun begitu, Fasha menegaskan perkongsiannya sekadar kandungan kesedaran dan tidak dibenarkan digunakan untuk tujuan lain.

“Saya okey sahaja asalkan ejen insurans tidak mendakwa saya sebagai duta produk mereka pula.

“Semuanya sekadar guna testimonial saya mengenai insiden yang berlaku baru-baru ini untuk beri kesedaran mengenai kepentingan kad perubatan,” jelasnya.

Terdahulu, pelakon filem Nana Tanjung itu memberitahu, dia menggunakan kelebihan kad perubatan dan insurans yang dilanggannya sejak tahun 2004 buat pertama kali selepas mengalami kecederaan di set penggambaran drama Anak Tuan baru-baru ini.

Susulan insiden tersebut yang menyebabkan tulang mata kirinya patah, bebola mata bengkak dan berdarah, Fasha terpaksa bermalam selama tujuh hari di hospital. – KOSMO! ONLINE

 

sumber KOSMO