Derita endometriosis
SETIAP tahun terdapat ramai wanita menderita masalah endometriosis, namun malangnya rakyat Malaysia secara umumnya tidak mengetahui mengenai penyakit itu sendiri dan punca keadaan berkenaan.
Secara ringkasnya, endometriosis berlaku apabila sel endometrium dari rahim berkembang di kawasan lain dalam tubuh wanita. Ia boleh menyebabkan kesakitan, pendarahan tidak teratur dan kemandulan.
Tisu endometrium yang dipindahkan ini dipengaruhi oleh perubahan hormon wanita dan memberi respon kepada mereka dengan cara sama seperti lapisan dalaman rahim seperti penebalan, pemecahan dan pendarahan semasa haid.
Proses yang berterusan menyebabkan keradangan di kawasan sekitar dan pembentukan tisu parut yang biasanya mengganggu anatomi organ di sekelilingnya dan mengganggu fungsinya.
Namun, lebih membimbangkan ialah kelewatan dalam menangani penyakit ini disebabkan kurangnya kesedaran dan pantang larang sosial dalam memperkatakan mengenai penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ini kerana endometriosis bukan saja memberi impak terhadap keadaan fizikal dan sosial, malah kesan terhadap mental wanita terutama ketika kehidupan mereka berada pada tahap produktif.
Meskipun pesakit endometriosis akan mengalami masalah kesuburan dan kesukaran untuk hamil, bagaimanapun apabila mereka hamil biasanya endometriosis tidak menjejaskan kehamilan.
Malah, kehamilan boleh berlangsung seperti seorang wanita yang mengandung tanpa endometriosis.
Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Perubatan Reproduktif, Dr S Selva berkata, kehamilan mempunyai kesan berbeza pada setiap wanita dengan endometriosis.
Katanya, sesetengah wanita mungkin mendapati kehamilan melegakan simptom endometriosis mereka kerana haid tidak berlaku.
“Kehamilan dengan endometriosis tidak dianggap berisiko tinggi. Ini kerana sekiranya pesakit hamil, sepanjang tempoh kehamilan keadaan endometriosis mereka tidak akan menjadi lebih buruk kerana tiada haid.
“Jadi, sepanjang tempoh kehamilan ini pesakit berasa lebih baik. Ini kerana haid yang menyebabkan pendarahan dalam lesi endometriotik dan kehamilan adalah keadaan wanita tanpa haid. Apabila tiada pendarahan, endometriosis tidak akan aktif,” katanya.
Menurutnya, ada ibu hamil yang bimbang keadaan bayi mereka ketika awal kehamilan seperti kemungkinan berlaku keguguran, namun endometriosis sendiri tidak akan meningkatkan kemungkinan itu.
Bagaimanapun katanya, ada penyakit lain iaitu adenomiosis yang seakan serupa dengan endometriosis yang boleh menyebabkan keguguran.
Katanya, adenomiosis adalah endometriosis yang menyusup masuk ke lapisan otot rahim dan sesetengah pesakit dengan endometriosis juga mungkin mempunyai adenomiosis.
Adenomiosis ini boleh menyebabkan rahim membesar dan keadaan inilah yang akan peningkatan risiko keguguran kandungan.
Mengenai rawatan yang diperlukan pesakit endometriosis, Dr Selva berkata, penyakit itu tidak dirawat apabila pesakit hamil. Ini kerana disebabkan wanita hamil tidak akan mengalami haid, kehamilan adalah rawatan sementara untuk endometriosis.
Ramai wanita dengan endometriosis mampu melalui kehamilan dan kelahiran yang selamat dengan bantuan doktor.
Malah sesetengah wanita mengalami pengurangan gejala semasa kehamilan dan semasa menyusui, namun adalah penting untuk berbincang dengan doktor tentang cara menguruskan gejala endometriosis semasa kehamilan.
Endometriosis jarang meningkatkan risiko komplikasi semasa mengandung dan melahirkan anak, tetapi doktor boleh memberi nasihat mengenai cara terbaik untuk menguruskan keadaan ini.
TINGKATKAN PELUANG HAMIL
Memang diakui endometriosis antara punca menyukarkan seseorang wanita untuk hamil. Ia juga menjadi kebimbangan ramai wanita yang mengalami endometriosis kerana ia boleh menjejaskan peluang mendapat anak.
Setakat ini tiada ubat yang boleh meningkatkan peluang wanita mengalami endometriosis untuk hamil tetapi ada beberapa perkara perlu dilakukan sekiranya anda dan pasangan mahu mempunyai zuriat.
Selain mendengar nasihat doktor, anda juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat sebaik mungkin. Ini akan mengurangkan keradangan dalam badan dan membuatkan badan bersedia menampung perkembangan janin jika hamil.
Antara kaedah yang boleh dilakukan ialah:
l Mengekalkan berat badan seimbang. Jika anda termasuk dalam kategori berisi, cubalah sedaya upaya menurunkan berat badan melalui penjagaan makanan dan senaman.
l Makan makanan seimbang dengan melebihkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan protein
l Bersenam setiap hari. Cari senaman yang sederhana dan boleh dilakukan setiap hari seperti berjalan pantas, mengangkat berat, menari atau mengikuti kelas aerobik.
l Sentiasa berfikiran positif. Ini penting untuk mengelakkan anda berasa tertekan kerana tekanan boleh menjejaskan peluang untuk hamil.
sumber :https://www.hmetro.com.my/hati/2019/08/485266/derita-endometriosis