fbpx

Kepentingan Memiliki Insurans Kemalangan Diri

Walaupun mengambil insurans kemalangan diri adalah satu perkara yang penting, masih ramai lagi individu yang tidak menyedari kepentingannya. Secara amnya, insurans kemalangan diri adalah sebuah polisi tahunan yang dapat memberi anda perlindungan yang komprehensif terhadap sebarang kemalangan yang terjadi tanpa disangka. 

Definisi Insurans Kemalangan Diri

Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Insurans kemalangan diri berperanan sebagai polisi insurans tahunan yang memberikan pampasan apabila berlaku kecederaan, hilang upaya atau kematian yang berlaku disebabkan kemalangan semata-mata. 

Walau bagaimanapun, setiap polisi insurans kemalangan mempunyai perlindungan yang berbeza. Sebagai contoh, terdapat polisi insurans kemalangan diri yang mengecualikan perlindungan ke atas kes bunuh diri, ada juga yang memberi pengecualian kepada kematian semasa beranak dan lain-lain jenis kemalangan.

Jenis-jenis perlindungan dan skala manfaat yang diberikan dalam insurans kemalangan diri adalah berbeza-beza mengikut syarikat insurans. Disebabkan itulah, ianya amat penting bagi anda untuk membandingkan dahulu pelan-pelan polisi insurans yang ditawarkan. Apa yang penting untuk anda pertimbangkan adalah skala manfaat yang diberikan, dan juga terma dan syarat yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans agar anda mendapatkan perlindungan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan anda. 

Kebiasaannya, manfaat-manfaat perlindungan yang terdapat di dalam Insurans Kemalangan Diri adalah:

  1. Kematian akibat kemalangan
  2. Hilang Upaya Kekal akibat kemalangan
  3. Hilang Upaya Sementara Menyeluruh / Separa akibat kemalangan
  4. Belanja Perubatan akibat kemalangan
  5. Pembedahan pembetulan akibat kemalangan
  6. Manfaat kemasukan ke hospital akibat kemalangan
  7. Kos perbelanjaan pengebumian

Perlindungan Jenis Berganda

Tahukah anda, anda boleh mempunyai lebih daripada satu insurans kemalangan diri? Ini bermakna ia membolehkan anda membuat tuntutan secara berganda. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada hak maksimum perlindungan yang terkandung dalam polisi insurans kemalangan anda. 

Meskipun begitu, tuntutan seperti belanja perubatan yang pampasannya berdasarkan pembayaran gantian/ pembayaran balik, anda akan dibayar pampasan sekali sahaja berdasarkan jumlah sebenar yang tertera di dalam bil/ resit asal tuntutan.

Pengecualian Dalam Insurans Kemalangan Diri

Jangan terkejut sekiranya sebelum anda ditawarkan sebarang polisi insurans kemalangan, soalan pertama yang akan ditanya oleh syarikat insurans anda adalah;

“Apakah pekerjaan anda?”

Ini kerana pekerjaan memainkan peranan yang besar dalam menentukan polisi insurans anda. Ada kemungkinan anda tidak layak untuk mendapatkan perlindungan ini sekiranya anda bekerja dalam sektor atau industri yang dianggap berisiko tinggi iaitu: 

  1. Bertugas dengan pasukan tentera laut, tentera darat, tentera udara, polis, jabatan bomba atau sebarang operasi yang berkaitan dengan ketenteraan atau sebarang pekerjaan yang bersenjata
  2. Penyelam
  3. Juruterbang dan anak kapal
  4. Penguji pesawat
  5. Ahli sukan profesional
  6. Pelaut dan nelayan laut
  7. Pekerjaan yang melibatkan penggerudian, pembalakan, kerja-kerja bawah tanah, pembuatan atau pengendalian atau penjagaan atau meletupkan bahan letupan pengeluaran gas

Bukan itu sahaja. Anda perlu mengetahui yang pengecualian-pengecualian am lain yang tidak dilindungi. Ianya adalah seperti berikut:

  1. Risiko peperangan
  2. Bunuh diri, cubaan membunuh diri dan ketidaksiuman
  3. Kecederaan yang disengajakan
  4. Di bawah pengaruh arak, dadah atau narkotik
  5. AIDS/HIV atau sebarang penyakit kelamin
  6. Pembunuhan atau serangan yang dirancang
  7. Melahirkan anak, mengandung atau keguguran atau sebarang komplikasi berkaitan
  8. Terlibat dalam kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang
  9. Sukan berbahaya
  10. Mengendali atau menunggang kenderaan bermotor beroda dua
  11. keuzuran/ penyakit, parasit, bakteria, jangkitan kuman atau sebarang keadaan semulajadi atau proses hilang upaya

Keperluan Atau Kehendak?

Tanpa kita sedari, setiap hari diri kita terdedah dengan risiko-risiko kemalangan. Kemalangan boleh berlaku tanpa mengira waktu, tempat dan juga usia. Mungkin ramai berpendapat mereka sudah cukup dilindungi tanpa mempunyai sebarang insurans, namun sejauh manakah bersedianya kita mengalami situasi-situasi cemas yang berlaku disebabkan kemalangan yang tidak diduga berlaku? 

Ini adalah kepentingan mempunyai insurans kemalangan diri bukan saja untuk diri sendiri, tapi termasuk jugalah ahli keluarga tercinta:

  • Perlindungan kewangan

Kos sara hidup bukannya makin hari makin rendah, malah makin hari makin tinggi. Tambah-tambah lagi jika menjalani kehidupan di bandar yang serba serbi mahalnya. Kos-kos keperluan harian yang tinggi kadang-kadang menyebabkan kita tidak dapat menyimpan dengan banyak. Lebih teruk, ada yang tidak dapat menyimpan langsung. 

Apabila kita tidak mempunyai sebarang simpanan, atau simpanan yang sedikit, kita tak dapat menggunakannya apabila berlakunya kecemasan. Mungkin ramai berpendapat, mereka dapat bekerja dan gaji masuk setiap bulan. 

Namun, apa akan jadi jika anda terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan anda tidak dapat bekerja? Cukupkah simpanan yang disimpan itu untuk membiayai kos rawatan yang bukan murah harganya? Ini tidak termasuk lagi dengan kos perbelanjaan harian keluarga apabila kita tidak bekerja. Lebih-lebih lagi jika anda merupakan punca pendapatan tunggal keluarga. 

Secara umumnya, insurans kemalangan diri di Malaysia dapat menawarkan pampasan tunai secara sekaligus apabila berlakunya kematian atau hilang upaya yang kekal. Pampasan dari segi wang tunai tersebut boleh digunakan untuk menggantikan pendapatan yang terputus sekiranya anda mengalami kemalangan yang menyebabkan anda hilang upaya untuk kembali bekerja dapat membantu menyara keluarga anda untuk keperluan harian.

  • Insurans tempat kerja tidak cukup

Antara frasa yang terkenal adalah:

“Syarikat saya sudah menyediakan insurans. Jadi, kenapa saya perlu beli insurans lagi?”

Tahukah anda faedah perlindungan insurans hanya diberikan selama kita berkhidmat dengan syarikat tersebut? Insurans yang disediakan oleh majikan adalah tidak cukup dan ianya terhad. Ini kerana ada pelbagai risikonya jika kita hanya bergantung pada insurans tempat kerja. Risiko pertama adalah dibuang kerja. Sekiranya anda dibuang kerja atas sebab-sebab syarikat bankrap atau sebagainya, anda berada dalam sebuah situasi yang genting di mana tiada perlindungan kemalangan diri yang disediakan. Benar, anda boleh membuat tuntutan pada sistem insurans pekerjaan, namun ianya juga adalah terhad kepada waktu tertentu. 

Insurans di tempat kerja juga dikhuatiri tidak dapat melindungi sepenuhnya. Ia boleh jadi memberi perlindungan sepenuhnya atau perlindungan asas sahaja. Dengan memiliki insurans kemalangan diri persendirian, anda boleh menentukan sendiri perlindungan jenis apa yang anda perlukan. 

  • Simpanan tidak mencukupi

Bukan lah satu benda yang pelik jika ramai mengatakan mereka tidak mempunyai simpanan daripada gaji atau pendapatan lain yang tidak mencukupi atau pun tidak mempunyai simpanan langsung. Kehidupan penuh dengan kejutan. Kadang-kadang kita tersangkut dalam situasi kecemasan yang memerlukan wang ringgit yang banyak. Tapi bagaimana jika simpanan tidak mencukupi atau tak ada untuk menanggung kos-kos ini?

Dengan adanya polisi kemalangan peribadi ini dapat membantu anda meminimakan risiko yang anda hadapi. Tak perlulah anda meminjam daripada sesiapa, atau memecahkan tabung yang telah disimpan untuk sekian waktu lamanya. 

  • Kemalangan boleh berlaku tanpa diduga

Manusia memang tidak boleh menjangkakan bila kemalangan itu berlaku, di mana dan bagaimana. Ia boleh jadi sewaktu kita ulang alik dapur ke bilik, boleh jadi sewaktu kita ulang alik dari tempat kerja ke rumah atau di mana-mana sahaja. Walaupun kita hidup dalam keadaan berhati-hati sekalipun, kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kemalangan daripada berlaku. 

Dalam tidak sedar, dalam perjalanan kita turun dari tingkat atas rumah ke ruang tamu di bawah pun boleh mendedahkan kita kepada risiko berlakunya kemalangan. Dalam situasi ini mungkin kaki anda terseliuh dan menyebabkan anda jatuh tangga. Selain itu, pergerakan kita setiap hari dari satu tempat ke satu tempat, tempat kerja contohnya, kita boleh terdedah dengan kemalangan jalan raya. Statistik kemalangan jalan raya di negara kita tidak menunjukkan tren penurunan malah meningkat pada setiap tahun. 

Benar, tiada tempat yang terkecuali daripada kemalangan. Namun, ia tidak bermakna kita harus hidup dalam ketakutan. Kita mampu untuk mengawal kesan dan akibat daripada kemalangan itu dengan adanya perlindungan seperti insurans kemalangan diri.  Disinilah pentingnya peranan insurans. Dengan adanya polisi perlindungan ini, ia dapat membantu mengurangkan risiko dan meminimakan kerugian yang boleh anda alami sekiranya terlibat dalam mana-mana jenis kemalangan. 

Kemalangan Di Jalan Raya

Kebanyakan kemalangan yang melibatkan kecederaan pada diri adalah akibat daripada tidak memakai tali pinggang keledar. Tali pinggang keledar yang ada pada setiap jenis kereta bukanlah aksesori atau hiasan semata-mata. Malah, ia adalah satu alat yang sangat penting dan telah menyelamatkan ramai nyawa. Tali pinggang keledar kereta adalah sebuah teknologi keselamatan yang paling senang yang telah digunapakai sekian lama dan juga terbukti berkesan dari segi menyelamatkan nyawa pemandu dan penumpang apabila berlakunya kemalangan. 

Menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), keselamatan nyawa pengguna jalan raya terjamin sebanyak 60 peratus apabila mereka menggunakan tali pinggang keledar semasa berada di jalan raya. Alat keselamatan itu amat berkesan mengurangkan risiko kematian dengan berfungsi secara menahan penumpang agar tidak tercampak dari kenderaan apabila berlaku momentum menghentak yang kuat semasa kemalangan terjadi. 

Ramai beranggapan hanya pemandu sahaja yang perlu memakai tali pinggang keledar. Itu pun semata-mata mahu elak disaman pihak berkuasa. Malahan, tali pinggang keledar perlu dipakai oleh setiap penumpang, tidak kira di bahagian depan atau di bahagian depan. 

Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan dan didapati anda tidak memakai tali pinggang keledar, tuntutan insurans kemalangan diri anda boleh ditolak bergantung kepada polisi syarikat insurans tersebut. 

Akibat Tidak Memakai Tali Pinggang Keledar

Umum mengetahui bahawa sebab utama untuk memakai tali pinggang keledar adalah untuk menyelamatkan nyawa apabila berlaku kemalangan. Tapi, apa yang menyebabkan ramai masih tidak sedar akan kepentingan tali pinggang keledar adalah kerana mereka tidak nampak bagaimana tali pinggang keledar itu berfungsi. Kebanyakan individu tidak sedar bahawa mereka boleh tercampak keluar apabila berlakunya hentakan yang kuat. 

Impak hentakan penumpang belakang adalah lebih besar apabila berlakunya kemalangan. Ini kerana, berat badan penumpang belakang akan bertambah 30 hingga ke 60 kali ganda lebih berat berbanding berat asal semasa kemalangan pada kelajuan 50 kilometer sejam. Situasi ini boleh mendatangkan bahaya kepada semua penumpang. 

Apabila penumpang tercampak keluar, bukan sahaja mereka boleh mendapatkan kecederaan yang parah kerana tercampak, malah mereka juga berisiko untuk dilanggar kereta lain yang sedang laju dalam pemanduan. 

Abai keselamatan demi gaya

Berbagai-bagai aksesori kenderaan yang menjadi trend kerana ia mudah dipasang dan kelihatan cantik. Tanpa menyedari ia amat berisiko dalam mencetuskan kemalangan dan meragut nyawa.

Kini, terdapat pula aksesori-aksesori seperti dummy buckle, atau alat nyah aktif tali pinggang keledar yang dijual dengan harga serendah RM2. Alat ini dijual kerana sesetengah kereta mengeluarkan bunyi apabila tali pinggang keselamatan itu tidak dipakai. Bagi mengelakkan berbunyi, ramai mengambil jalan pintas dengan menggunakan dummy buckle. Dengan cara ini tali pinggang keselamatan tak perlu dipakai dan tidak berbunyi. 

Pengguna jalan raya juga dipercayai mengenakan tali keledar bersama aksesori ini ketika ‘terserempak’ atau berdepan polis trafik bagi mengelakkan disaman. Jika anda didapati kemalangan dan menggunakan dummy buckle ini, insurans kemalangan diri tidak dapat dituntut.

9 Tips Kemalangan Jalan Raya Yang Patut Dijadikan Amalan

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), 418,237 kemalangan jalan raya telah dilaporkan pada tahun 2020 walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi apa sebenarnya yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan kemalangan jalan raya? Ini adalah langkah-langkah yang perlu dijadikan amalan:

  • Jaga jarak antara kenderaan

Sentiasa kawal jarak kereta anda dengan kenderaan lain. Elakkan terlalu rapat. Ini kerana, jika dalam hal kecemasan, jarak tersebut dapat membantu anda memberikan masa yang cukup untuk membuat brek kecemasan. Juga lebihkan jarak kenderaan anda dengan yang di hadapan ketika berdepan dengan cuaca buruk, seperti hujan lebat atau keadaan penglihatan rendah.

  • Jangan lebihi had laju

Biar lambat asal selamat. Jangan rasa tercabar untuk memecut jika anda berhadapan dengan pemandu yang tidak sabar. Ia adalah tanggungjawab anda untuk memandu pada kelajuan yang sesuai dengan keadaan sekeliling.

  • Kenalpasti titik buta

Setiap kenderaan mempunyai titik buta atau juga dikenali sebagai blind spot. Ini selalunya melibatkan mana-mana kawasan yang dihalang oleh tiang depan dan belakang kenderaan anda. Ketahui titik buta kenderaan anda dan sentiasa berjaga-jaga: sentiasa periksa cermin pandang belakang dan cermin luar ketika bertukar laluan atau mengundur dari tempat letak kereta.

  • Pakai tali pinggang keledar setiap masa

Tali pinggang keledar ini dapat membantu anda jika terjadi sebarang kemalangan. Ia boleh mengurangkan impak daripada terhantuk dengan kuat ataupun tubuh badan beralih ke tempat yang lain. Pakai walaupun jarak destinasi yang ingin dituju itu adalah dekat.

  • Elakkan menggunakan telefon bimbit

Letakkan perhatian dan fokus anda 100 peratusnya pada jalan raya ketika memandu. Membiasakan diri untuk menjawab panggilan, membalas mesej atau melayari internet dan sosial media semasa memandu adalah perkara yang amat membahayakan buat pemandu, penumpang mahupun pemandu yang lain. Hentikan sikap buruk ini. Ia boleh membuatkan anda leka semasa memandu.

  • Peka

Sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling anda. Sebagai pemandu berhemah anda perlu sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan anda dan peka terhadap keadaan sekeliling. Pastikan fokus hanya berada pada kereta di jalan raya dan persekitaran serta elakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu kerana ia boleh mengalihkan tumpuan anda.

Sememangnya kemalangan boleh berlaku dan boleh dilindungi dengan insurans kemalangan diri. Namun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk terus menjaga keselamatan diri dan juga ahli keluarga yang lain. Seperti yang telah diperkatakan tadi, malang memang tidak berbau namun kita berkuasa untuk mengawal kesannya terhadap kita.

Dapatkanlah perlindungan yang mencukupi. Jikalau anda masih buntu untuk dapatkan dimana, anda boleh klik di SINI. Sentiasa berhati-hati di jalan raya dan semoga artikel kali ini dapat memberi manfaat kepada anda.

Powered By EmbedPress