Kepentingan Simpanan Persaraan

Tidak kiralah samada anda bujang atau berkeluarga, merancang kewangan merupakan salah satu perkara penting dalam memastikan kehidupan anda berjalan dengan lancar. Perancangan kewangan ini termasuklah membayar komitmen bulanan, bil-bil, simpanan pelaburan, simpanan peribadi dan juga simpanan sewaktu kecemasan. 

Namun, sebaik sahaja anda berkahwin, pelan jangka panjang buat keluarga sudah semestinya perlu dibuat dengan teliti. Pada peringkat permulaan, ianya hanya melibatkan anda dan pasangan, namun lama-kelamaan, pastinya bilangan ahli keluarga juga bertambah. Ini bermakna komitmen kewangan anda juga akan meningkat. Dan apabila bilangan ahli keluarga semakin ramai, maka perancangan kewangan dan perlindungan buat keluarga juga menjadi sangat penting. Di sini kami senaraikan 5 sebab mengapa perancangan kewangan dan perlindungan buat keluarga adalah penting buat anda:

 

1. MEMBERI PERLINDUNGAN BUAT ANDA DAN KELUARGA APABILA BERLAKU KEMALANGAN

 

Sudah tentu kita tidak mengharapkan berlakunya sebarang perkara tidak diingini seperti kemalangan atau ditimpa penyakit. Tidak kiralah samada ianya terjadi kepada anda atau ahli keluarga. Namun, malang memang tidak berbau, sekiranya berlaku kemalangan atau ahli keluarga anda menghidap penyakit, perancangan kewangan dan perlindungan yang baik pastinya mengurangkan beban yang ditanggung. 

2. UNTUK MENDAPATKAN KESTABILAN KEWANGAN

Jika perancangan kewangan dan perlindungan buat ahli keluarga dirancang dengan baik, pastinya kestabilan kewangan dalam institusi keluarga akan terjamin. Jadi, kebarangkalian untuk keluarga anda menghadapi masalah kewangan dapat dikurangkan. 

3. MAMPU MENAMPUNG KOS PENJAGAAN KESIHATAN

Kerajaan telah memberi kemudahan seperti klinik kesihatan dengan caj berpatutan buat rakyat Malaysia. Namun, jika berlaku kecemasan, adakalanya pilihan yang terdekat ialah klinik swasta. Dengan merancang kewangan keluarga, kos penjagaan kesihatan keluarga bukan lagi satu beban yang membelenggu fikiran anda. 

4. MENGGALAKKAN SIMPANAN

Merancang kewangan buat keluarga sebenarnya salah satu cara untuk anda belajar menyimpan dengan bijak. Jadikan tabiat menyimpan satu disiplin bukan sahaja untuk diri sendiri, galakkan juga anak-anak menyimpan wang saku lebihan yang anda beri. 

5. PENGURUSAN RISIKO – GUNAKAN PELAN TAKAFUL UNTUK MENGURANGKAN FAKTOR RISIKO DI DALAM HIDUP ANDA.

Pengurusan risiko bermaksud mengenalpasti pendedahan kerugian yang anda hadapi dan memilih teknik yang paling sesuai untuk menguruskan pendedahan tersebut. Dalam merancang kewangan dan perlindungan buat keluarga, anda boleh menggunakan pelan takaful untuk mengurangkan faktor risiko sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

Jadi, selepas mengetahui kepentingan merancang kewangan dan perlindungan, bagaimana pula caranya untuk memberi perlindungan buat keluarga anda? Di sini kami kongsikan beberapa cara untuk melindungi keluarga anda:

 

1. SEDIAKAN WANG KECEMASAN

Dalam merancang kewangan, pastikan anda membuat simpanan untuk tujuan kecemasan. Ianya sangat berguna jika berlakunya perkara seperti kemalangan atau ditimpa penyakit yang memerlukan anda atau ahli keluarga duduk di hospital atau mendapatkan rawatan berterusan.

2. LINDUNGI KELUARGA ANDA DENGAN PELAN TAKAFUL – A -LIFE MEDIK FAMILI

Anda mungkin dilindungi pelan takaful di syarikat tempat anda bekerja atau mempunyai pelan takaful individu anda sendiri. Tetapi, sebaik sahaja ahli keluarga anda bertambah, ada yang mula membuat kira-kira untuk mengambil pelan takaful buat anak-anak dan teragak-agak disebabkan kos yang dirasakan agak mahal. Ramai yang beranggapan perlindungan buat keluarga adalah mahal jika diambil secara berasingan, namun tahukah anda dengan pelan aspirasi, pelan perlindungan takaful buat keluarga akan menjadi berpatutan? Pelan ini mempunyai perlindungan tambahan untuk penyakit kritikal yang bukan sahaja sesuai untuk anda, tetapi juga untuk pasangan dan anak-anak anda. Selain itu, pelan ini juga memberi perlindungan buat anda dan keluarga sehingga 100 tahun. 

3. KEKAL AKTIF DAN SIHAT UNTUK MENGURANGKAN RISIKO DITIMPA PENYAKIT

Di usia yang muda ini, ramai yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabaikan kesihatan. Luangkan sedikit masa di hujung minggu untuk beriadah dan mengeluarkan peluh. Selain daripada kekal cergas, risiko ditimpa penyakit kronik juga dapat dikurangkan jika anda menjalani gaya hidup sihat. 

4. MULAKAN PERANCANGAN PERSARAAN ANDA

Anda mungkin masih lagi bekerja dan ada masa yang sangat panjang sebelum usia persaraan. Tetapi, sebenarnya adalah sangat baik untuk membuat perancangan awal untuk persaraan anda. Buat simpanan pelaburan seawal mungkin dan jadikan ia salah satu pelan persaraan anda. Dalam tempoh masa yang panjang, kita boleh mengambil risiko lebih tinggi untuk terlibat dalam pelaburan yang sah untuk menggandakan tabung persaraan dengan lebih cepat. 

Buat perancangan kewangan dan pilih perlindungan yang tepat buat keluarga anda sekarang. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Sekiranya berlaku sebarang kemalangan terhadap anda atau keluarga, pelan yang dirancang dengan tepat pastinya mengurangkan beban yang perlu ditanggung kelak.