MEMAHAMI ISTILAH “DITIDURKAN” KEPADA PESAKIT COVID TAHAP 4 DAN 5.

MEMAHAMI ISTILAH "DITIDURKAN" KEPADA PESAKIT COVID TAHAP 4 DAN 5.

Seperti yang kita tahu, Corona virus merupakan sejenis virus yang menyerang bahagian paru-paru. Paru-paru berfungsi untuk membekalkan oksigen ke dalam badan dengan bantuan otot pernafasan yang utama (dan lain-lain otot), iaitu diafragma. Apabila kita menarik nafas, peningkatan isipadu bahagian toraks akan menyebabkan tekanannya berkurangan berbanding dengan tekanan atmosfera.

Hal ini membolehkan udara luar akan masuk ke dalam paru-paru dan apabila udara tersebut tiba di bahagian alveolus, pertukaran gas akan berlaku iaitu oksigen akan diambil dan karbon dioksida akan dikeluarkan.

Dalam kes jangkitan Corona virus, badan manusia akan bertindak untuk mempertahankan sel-sel paru-paru kita saat virus ini mulai memasuki dan menjangkiti ruang pernafasan pesakit. Hal ini menyebabkan keradangan (inflammation). Keradangan adalah salah satu sistem pertahanan untuk menghantar lebih banyak sel darah putih di samping cubaan untuk menyingkirkan virus tersebut.

Malangnya, walaupun keradangan ini baik untuk penyakit-penyakit lain, untuk kes jangkitan Corona virus pula, perkara yang sebaliknya akan berlaku. Keradangan akan menyebabkan bahagian sel-sel paru-paru mulai membengkak dan dipenuhi dengan cecair. Cecair tersebut akan menghalang pertukaran gas di alveolus dengan efisien, dan hal ini akan mengakibatkan kandungan oksigen di dalam darah menjadi rendah di samping kandungan karbon dioksida pula meningkat.

Pada awalnya, sistem-sistem lain di dalam badan pesakit akan cuba untuk memperbetulkan kandungan oksigen yang rendah dan kandungan karbon dioksida yang tinggi dengan cara meningkatkan lagi kadar pernafasan dan penglibatan organ buah pinggang untuk menstabilkan pH darah kita.

Lama-kelamaan, peningkatan kadar pernafasan tidak lagi mampu untuk memperbetulkan kandungan oksigen dan karbon dioksida apabila virus tersebut mulai merebak. Kadangkala, buah pinggang tidak sempat untuk membantu menstabilkan semula pH darah pesakit kerana virus ini menyerang dengan pantas. Hal ini akan mengakibatkan kegagalan organ-organ penting untuk menjalankan fungsinya dan berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Maka, di sinilah datangnya peranan ventilator. Doktor/Staf kesihatan akan menyambungkan alat ini dengan harapan, ianya dapat memberikan sokongan pernafasan untuk pesakit. Doktor/Staf kesihatan akan memeriksa kandungan oksigen di dalam darah pesakit dan dari situ, melaraskan tetapan mesin tersebut daripada segi kadar pernafasan untuk memastikan oksigen di dalam darah pesakit mencukupi serta ‘membeli masa’ untuk tubuh badan pesakit menghasilkan antibodi dalam usaha untuk mempertahankan fungsi fisiologi badan manusia.